Mengikut Akta Pendidikan KPM 1996, Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) ditubuhkan di semua Sekolah Kerajaan bertujuan untuk mewujudkan permuafakatan antara ibubapa dan guru (IBG), yang diharapkan dapat membina kesefahamanan tentang tugas dan tanggungjawab bersama dan usaha dalam meningkatkan mutu pengajaran guru dan pembelajaran murid di Sekolah. Ia juga untuk mempertingkatkan kerjasama dan perkongsian antara pihak Sekolah, ibubapa dan komuniti setempat.
Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) merupakan antara mekanisme penting dalam mewujudkan pendidikan yang berkualiti di sekolah. Menerusi PIBG, banyak program dan langkah boleh diatur dalam mengatasi pelbagai kekangan yang boleh mencacatkan iklim pengajaran dan pembelajaran di sesebuah sekolah.
PIBG juga mempunyai peranan ‘saling lengkap melengkapi’ terhadap fungsi Kementerian Pendidikan Malaysia dalam menyediakan prasarana, kemudahan dan suasana Sekolah yang kondusif kepada murid-murid dan guru-guru di Sekolah.
Tujuan-tujuan PIBG adalah:
- Untuk mengadakan satu forum dan perkhidmatan bagi kebajikan dan kemajuan murid-murid dalam Sekolah dalam meningkatkan imej Sekolah
- Untuk membantu dan menambah usaha Sekolah dalam memenuhi kehendak dan keperluan kebendaan murid-murid dalam kegiatan mereka
- Untuk membolehkan IBG dalam Sekolah bertukar-tukar fikran dan maklumat mengenai pendidikan
- Untuk memberi peluang kepada IBG dalam Sekolah berunding antara satu sama lain berkenaan dengan cara memperbaiki taraf pendidikan anak-anak mereka pada amnya
- Untuk membolehkan IBG dalam Sekolah untuk berusaha menambah kewangan Sekolah dan meningkatkan kemudahan fizikal bagi tujuan meningkatkan kemudahan pengajaran dan pembelajaran
Fungsi peranan PIBG adalah:
- Membantu dalam memajukan perkembangan murid dan menjaga kebajikan murid
- Menambah sumber kewangan Sekolah bagi menambah dan meningkatkan kemudahan di Sekolah
- Meningkatkan kemesraan dan menyediakan saluran komunikasi dan hubungan antara Sekolah dengan masyarakat setempat
- Meningkatkan keceriaan premis Sekolah supaya dapat mewujudkan suasana yang konduisif bagi menjayakan aktiviti dan program pendidikan
- Salah satu peranan yang boleh dimainkan oleh PIBG adalah sebagai orang tengah antara guru dan ibu bapa.
- Selain itu, PIBG sebagai sebuah organisasi yang berwibawa boleh menubuhkan tabung pendidikan untuk para pelajar di sesebuah sekolah.
- Di samping itu, PIBG juga boleh mengadakan seminar dan kem motivasi untuk para pelajar di setiap sekolah.
- Peranan lain yang boleh dimainkan oleh PIBG adalah sebagai pemantau dan penilai terhadap perjalanan sekolah.
- Tindakan PIBG membela nasib guru yang menjulang amanah ini akan menjadikan mereka lebih bersemangat dan selesa ketika bertugas. Ini secara tidak langsung dapat membantu sekolah meningkatkan pencapaian dalam semua bidang.
- Akhir sekali, PIBG boleh juga mengadakan beberapa sesi gotong-royong di sekolah
Semua ibu bapa dan guru di sekolah ini merupakan ahli PIBG. AJK PIBG dipilih melalui Mesyuarat Agung Tahunan & menjalankan tugas dan amanah secara sukarela serta perlu menitikberatkan keikhlasan, keterbukaan dan pengorbanan.
Sesungguhnya PIBG dan sekolah ibarat ‘aur dengan tebing’ yang perlu saling membantu. Dengan kerjasama erat kedua-dua pihak sahaja kualiti pendidikan di sekolah dapat ditingkatkan.










