Friday, December 26, 2008

5 Asas Hijrah Hadapi Cabaran Era Globalisasi

Lima asas hijrah hadapi cabaran era globalisasi Oleh Sumilah Marto KEDATANGAN tahun baru 1426 Hijrah mengingatkan kita kepada peristiwa penting dan bersejarah dalam kalendar Islam. Peristiwa itu bukan saja kerana bermulanya perkiraan takwim hijrah, malah merujuk kepada penghijrahan Nabi Muhammad saw dari Makkah ke Madinah yang mengandungi rahsia, keistimewaan dan konsep tersendiri. Rasulullah diperintahkan Allah berhijrah dari Makkah ke Madinah yang berlaku ketika ruang perjuangan Rasulullah terlalu sempit dan terhimpit. Baginda tidak memilih untuk berdoa meminta kelapangan yang sudah tentu Allah kabulkan. Sebaliknya, terpaksa menempuh laluan sukar, berbahaya dan berisiko tinggi kerana diburu musuh untuk mencapai suatu keadaan yang lebih baik.

Melalui perintah hijrah, Rasulullah berusaha merancang dan bertindak.Penghijrahan seumpama Rasulullah dan sahabat tidak berlaku lagi kepada umat Islam selepas Baginda. Namun, konsep penghijrahan tetap berterusan di kalangan umat Islam. Ertinya, tiada lagi hijrah kecuali daripada kejahatan kepada kebaikan dan daripada kebaikan kepada yang lebih baik.

Allah berfirman bermaksud: “Orang yang berhijrah kerana Allah selepas teraniaya akan Kami tempatkan mereka di dunia pada tempat yang baik. Akan tetapi ganjaran akhirat jauh lebih besar, kalau mereka sedar. Iaitu terhadap orang yang sabar dan bertawakkal kepada Tuhan mereka.” (Surah al-Nahl, ayat 41-42). Jika diteliti dan dihayati, konsep hijrah pada era globalisasi mengajak umat Islam untuk kemanfaatan dan mempertingkatkan pelbagai aspek kemajuan. Di samping itu, ia mampu memantapkan keimanan dan jati umat Islam untuk menghadapi pelbagai kemajuan dan cabaran. Umat Islam perlu sentiasa memuhasabah diri dan memperbaiki keadaan dari semasa ke semasa. Usaha membaiki keadaan kehidupan berterusan ertinya menghayati pengertian hijrah. Sebagai menepati konsep hijrah Rasulullah, pasti terpaksa dilakukan bersungguh-sungguh.

Seseorang itu juga mesti sanggup menempuh jalan penuh risiko. Tiada jalan mudah untuk meraih kejayaan sama ada di dunia mahupun akhirat.Antara aspek penting dalam proses hijrah berterusan adalah:

Hijrah iman
Kita perlu mempertingkatkan iman menerusi usaha membersihkan sifat keji (mazmumah) dan melazimkan dengan sifat terpuji (mahmudah). Dengan ini, hati akan disinari cahaya yang akan dapat melihat kebesaran dan keagungan Allah.Peningkatan iman juga perlu dibuat melalui banyak berfikir mengenai kejadian alam semesta, kejadian diri serta alam akhirat. Hati akan berasa takut dan gentar kepada Allah. Firman Allah bermaksud: “Hai! Tuhanku dudukkanlah diriku dalam kedudukan yang benar dan keluarkan diriku dengan cara yang benar dan kurniakanlah kepadaku kuasa daripada sisi-Mu yang serba membantu.” (Surah al-Isra’, ayat 80)Sembahyang adalah mikraj orang mukmin. Oleh itu, perlu dihayati secara sempurna dan diperbanyakkan sembahyang sunat. Sahabat mendirikan sembahyang sunat sehari semalam purata tiga ratus rakaat. Ini dilakukan di tengah kesibukan pelbagai urusan umat.

Hijrah ilmu
‘Ilmu itu cahaya, jahil itu berbahaya’. Rangkai kata indah ini mempunyai pengertian yang mendalam. Bahaya kejahilan tidak perlu diungkap dengan kata-kata lagi. Semua mengakui dan terbukti betapa kejahilan membawa pelbagai natijah buruk kepada manusia.Firman Allah bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad) adakah sama orang yang berpengetahuan dengan orang yang tidak berpengetahuan.” (Surah az-Zumar, ayat 9)Umat Islam boleh mencapai pelbagai kejayaan, andai konsep hijrah ilmu diamalkan iaitu terus meningkatkan ilmu ke tahap lebih tinggi dan mencapai profesional. Tidak ketinggalan juga, pentingnya umat Islam menguasai pengetahuan am yang luas terutama dalam politik, ekonomi, sosial dan kepemimpinan.Lemah daya fikir umat ada hubung kait dengan kelemahan menguasai ilmu dan pengetahuan. Umat Islam tidak berupaya mengatasi mainan dan tipu muslihat musuh. Malah, tidak mampu menilai budaya itu positif atau negatif. Tidak hairan, apabila remaja Muslim mudah terjebak dengan pelbagai unsur negatif dalam kehidupan.

Hijrah amal
“Sebaik-baik amal adalah yang berkekalan biarpun sedikit.” maksud hadis Rasulullah. Tetapi sabda Baginda itu bukan meminta mengurangkan amal. Ini membawa pengertian perbandingan yakni amalan sedikit yang istiqamah itu, lebih baik berbanding dengan amalan yang banyak tidak istiqamah (konsisten). Tentu maksudnya lebih baik jika amalan itu banyak berserta istiqamah.Masa yang berlalu tidak akan kembali. Rasulullah memberi amaran melalui sabdanya bermaksud: “Ingat lima perkara sebelum datang lima perkara iaitu ketika muda sebelum datangnya tua, masa lapang sebelum datangnya sibuk, masa senang sebelum datang susah, masa sihat sebelum datang sakit dan masa hidup sebelum datangnya mati.”Peringatan Rasulullah itu bagi mendorong umatnya meningkatkan amalan kebajikan sebelum tiada lagi peluang untuk beramal, terutama apabila kedatangan ajal.

Hijrah nafsu
Nafsu tidak boleh dibuang daripada diri manusia. Manusia membiak, tamadun berkembang dan bumi semarak kerana manusia memiliki nafsu. Hanya yang ditegah adalah menurut saja nafsu sama ada taraf rendah atau serakah yang membawa keburukan kepada manusia.Oleh itu, umat perlu berhijrah daripada nafsu amarah kepada lawwamah. Seterusnya, mulhimah, mutmainnah, radhiah, mardhiah dan kamilah.

Hijrah akhlak
Umat terdahulu hingga ke masyarakat jahiliah mencapai tamadun tinggi, tetapi rosak akhlak. Akhirnya, mereka binasa. Kini dunia Barat juga berada pada keadaan sama. Malangnya, umat Islam yang kebanyakan mundur sudah mengikut jejak langkah akhlak Barat.Keruntuhan akhlak antara punca umat Islam lemah. Unsur negatif Barat berleluasa di kalangan umat Islam yang juga bertindak kasar, ganas, saling rakus, hasad dengki, menghasut, tidak mempunyai nilai kasih sayang dan perpaduan.Umat Islam perlu berusaha berhijrah daripada tabiat buruk kepada berakhlak mulia seperti dimiliki Rasulullah. Sejak remaja, Baginda bergelar al-Amin, ertinya orang yang sangat dipercayai. Rasulullah juga mengakui dalam sabdanya bermaksud: “Aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.” Siti Aishah menyebut peribadi Rasulullah sebagai akhlak al-Quran. Begitu juga dengan sahabat Baginda yang sangat berakhlak, bersopan, bertertib, berbudi pekerti luhur, berdisiplin dan bertatasusila dalam segala hal. Peribadi mulia itu ditunjukkan sama ada terhadap Allah, manusia atau haiwan.Umat Islam perlu berhijrah dalam aspek sikap iaitu membuang yang negatif sebaliknya menyuburkan sikap positif. Mengikis sikap pesimis sebaliknya diganti dengan optimis.Andainya kesukaran hidup menjadi gangguan untuk mentaati Allah, maka perlu pula berusaha meningkatkan taraf hidup. Kemajuan dan pembangunan umat juga perlu sentiasa dikembangkan. Sempena awal tahun Hijrah 1426, umat Islam perlu membulatkan tekad baru selaras dengan cita-cita dan aspirasi agama, bangsa dan negara. Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya aku berhijrah kepada Tuhan-ku.” (Surah al-Ankabut, ayat 26)

Petikan ini diambil dari http://wadahwanita.blogspot.com/2005/02/lima-asas-hijrah-hadapi-cabaran-era.html

1 komen:

InsyaAllah, mudah2an kita semua dapat 'berhijrah'.... sementara hayat dikandung badan!